Saturday, November 22, 2008

MARI KENALI FIZIKAL AL-QURAN

Saya amat suka untuk menyatakan bahawa cara awal bagi seseorang merasa dihubungkan dengan Tuhan ialah dengan membaca, melafazkan atau mendengar orang lain membaca Al-Quran. Maka saya kira, sebelum kita pergi jauh mendalam dan menyelongkar ‘isi hati’ dan segala macam rahsia kehebatan Al-Quran, adalah lebih baik kita mulai dengan mengenali keadaan fizikalnya. Dalam hal ini, saya akan mencuba sederhana mungkin untuk memperlihatkan betapa kemas dan halusnya setiap ayat Al-Quran telah disusun dan diatur secara ilmiah, sehingga ia menjadi satu susunan teks yang digelar sebagai ‘kitab suci’ – suci dari penyelewengan, penambahan, pengurangan mahupun pertukaran. Bahkan susunan ayat Al-Quran adalah susunan yang paling rapi dan sempurna kerana Allah sendiri menyatakan :

Alif Lam Ra, Ini adalah suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi dan terperinci, yang diturunkan dari sisi yang Maha Bijaksana dan Maha Tahu – Surah Huud,1

NAMA GELARAN LAIN BAGI AL-QURAN

Perkara pertama yang paling membuatkan Al-Quran begitu istimewa ialah nama gelarannya yang begitu banyak dan pelbagai. Saya yakin, kita hanya mengenali nama ‘formal’ Al-Quran sebagai ‘Al-Quran’ sahaja, tetapi tahukah anda, ia memiliki beberapa nama lain? Antara yang terkenal ialah Al-Furqan (pemisah antara hak dan batil), Al-Kitab (yang tertulis), Al-Zikr (peringatan), Al-Hikmah (Kebijaksanaan), Al-Syifa’ (penawar), Al-Huda (petunjuk), Al-Burhan (keterangan) dan Al-Tanzil (wahyu yang diturunkan). Ternyata, banyaknya nama lain yang disandang oleh Al-Quran menunjukkan kepada kita akan seribu satu keistimewaannya. Bukankah nama Allah juga begitu pelbagai, 99 Asmaul Husna kesemuanya?

Ini sebenarnya telah meletakkan Al-Quran ditempat yang tersendiri, melebihi dari Taurat, Zabur dan Injil. Kedudukannya yang asli, baik dari segi makhraj, huruf, baris dan tajwidnya masih kekal sama seperti yang pernah dituturkan Baginda Rasulullah, kerana proses pengekalannya juga berjalan dengan begitu istimewa, iaitu secara Mutawatir. Tahukah anda bagaimanakah proses itu berjalan ? Secara mudah, ia bermaksud satu proses penerimaan dan pengekalan, ditulis dan dihafaz oleh beribu juta orang yang mustahil akan bersepakat untuk berbuat dusta. Proses ini berlangsung sejak turun temurun dan akan berkekalan hingga akhir zaman.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host