Saturday, November 22, 2008

FAKTA ANGKA DAN NOMBOR MENGENAI AL-QURAN

Seterusnya, kita akan mula bermain dengan fakta angka dan nombor mengenai Al-Quran, di mana susunan ayat dan teksnya berasal dari 28 huruf Hija’iyah (huruf Alif hingga Ya’), terkandung didalamnya :

Sebanyak 114 surah yang berbeza panjang dan pendeknya. Anda boleh saja menganggap ia seperti 114 ‘surat’ yang berlainan tajuk dan cerita. Ia dimulai dengan Surah Al-Fatihah, yang bermakna ‘pembukaan’, surah yang kita ulangi sekurang-kurangnya 17 kali ketika solat, dan kemudiannya diikuti dengan surah terpanjang iaitu Surah Al-Baqarah sebanyak 286 ayat. Manakala surah terpendek ialah surah Al-Kausar dengan 3 ayat sahaja. Al-Quran akan diakhiri dengan Surah An-Naas di penghujungnya. Kesemua surah ini akan dibahagi-bahagikan di dalam 30 juzu’ (bahagian). Setiap juzu’ pula dipecahkan lagi kepada 2 ‘hizb’, dan setiap hizib dibahagikan lagi kepada 4 ‘rubu’. Ini bermakna, terdapat 8 rubu’ didalam satu juzu’. Bahkan, ada sesetengahnya yang mengenali rubu’ ini dengan gelaran ‘maqra’.

Jika diperhatikan, pembahagian 30 juzu’ ini sebenarnya akan memudahkan anda jika anda ingin membaca Al-Quran secara berkala dan sistematik. Contohnya, jika anda membaca sebanyak 1 rubu’ sehari, bermakna anda akan dapat melazimkan diri menghabiskan 1 juzu’ bacaaan dalam 8 hari. Dan jika ia dibiasakan setiap hari, anda sebenarnya akan membaca 4 juzu’ dalam masa sebulan (32 hari). Ini juga boleh membawa kepada perkiraan seterusnya iaitu, anda dengan mudah meng’khatam’kan keseluruhan Al-Quran dalam masa 8 bulan sahaja.

Al-Quran juga mengandungi 6,236 ayat, bukannya 6666 ayat seperti yang didakwa sesetengah pihak. Anda boleh mengiranya sendiri untuk menambah kepastian anda. Ayat pertama mula ‘menjejak bumi’ – disampaikan kepada Nabi Muhammad pada malam 17 Ramadan, dengan ayat Iqra’ (perintah untuk membaca) sebagai permulaan, ketika baginda berumur 40 tahun. Peristiwa agung ini berlangsung di Gua Hira’, Bukit Tsur, Mekah. Sementara ayat terakhir diturunkan ialah ayat 281 dalam Surah Al-Baqarah, dianugerahkan Malaikat Jibril kira – kira 9 hari sebelum Rasulullah wafat (mengikut pendapat Imam Suyuti).

Keseluruhan ayat Al-Quran disampaikan beransur-ansur oleh Malaikat Jibril kepada Nabi selama 23 tahun, atau lebih tepatnya 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari. Dan ia telah dihafaz oleh ribuan sahabat, ditulis pada lembaran-lembaran, sebelum dikumpulkan secara rasmi oleh Saidina Abu Bakar, dan dilanjutkan oleh Saidina Uthman, Khalifah Islam ketiga sehinggalah kekal kepada kita hingga ke hari ini dengan jolokan ‘Mashaf Uthmani’.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host