Saturday, November 22, 2008

Persoalan 2 : Bagaimana cara Allah menjaga Al-Quran terus kekal hingga akhir zaman?

Saya masih teringat lagi, apabila menerima soalan ini, hati kecil saya telah berkata ‘ini adalah satu soalan yang sukar tanpa jawapan yang mudah’. Maka dengan sedaya-upaya saya cuba merumuskan jawapannya agar ia dapat difahami lebih mudah dengan menerangkan bahawa Allah S.W.T, dengan segala keMaha Kuasaan dan KeagunganNya ada menyatakan :

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al – Quran, dan Kamilah yang menjaganya” Surah Al-Hijr,9

Antara cara Allah menjaganya ialah dengan memudahkan manusia menghafaz Al-Quran. Anda akan bersetuju, ia adalah sesuatu yang normal jika sebuah kitab berbahasa Arab dihafaz keseluruhannya oleh bangsa yang menuturkan bahasa Arab. Tetapi anda akan merasa takjub jika ia juga mampu dihafaz oleh mereka yang kadang-kala tidak faham walau sepatah perkataan! Dan, sebagai tambahan untuk kejutan yang lebih besar, mereka yang menghafaz keseluruhannya mungkin sahaja berumur tidak lebih dari 12 tahun!. Kita tidak perlu pergi terlalu jauh untuk mencari buktinya. Jika anda terbaca Utusan Malaysia edisi 12 April 2006, Noramirah Azahari, seorang kanak-kanak dari Perak yang walaupun baru berusia 10 tahun, diberi kelebihan menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Tidak ada kitab yang memiliki keunikan seperti ini. Dan, jika berlaku satu peristiwa ganjil di mana Al-Quran hilang atau dihancurkan keseluruhannya (yang pasti tidak akan berlaku), saya yakin ia secara mudah dapat dikumpulkan semula oleh penghafaz Al-Quran dengan tepat dan lengkap, ayat demi ayat, tanpa tertinggal walau satu titik sekalipun.

Bahkan, ketika Al-Quran sedang mengekalkan posisinya selaku ‘mukjizat’ yang berterusan hingga akhir zaman, proses ini telah dibantu secara tidak langsung oleh mereka yang tidak beriman kepadanya. Kita semua sedia maklum , golongan bukan muslim tidak mungkin mempercayai atau beriman kepada kitab suci ini. Mereka juga pernah suatu ketika membuat penafian yang begitu kuat : “kami tetap tidak akan percaya walau malaikat sendiri yang turun dari langit membawanya kedepan mata kami! Tidak sekali – kali!”. Al-Quran sendiri, dengan agak jengkel, merakamkan ‘taboo’ mereka dalam Surah Al-An’aam, ayat 111:

Kalau sekiranya Kami turunkan malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang telah mati berbicara dengan mereka dan Kami kumpulkan segala sesuatu ke hadapan mereka , niscaya mereka tidak akan beriman, kecuali jika Allah menghendaki, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Tetapi hal yang sebaliknya berlaku. Mereka bukan sahaja tidak mampu menafikan kebenaran Al-Quran, tetapi secara tidak langsung mereka membenarkannya melalui penemuan baru dalam bidang saintifik, di mana kesemuanya selari dengan kandungan Al-Quran. Pelik tetapi benar. Contohnya agak banyak. Anda mungkin sahaja mengetahui fakta bahawa kita memerlukan tangki oksigen setiap kali mendaki gunung yang cukup tinggi seperti gunung Everest. Hal ini berlaku kerana oksigen akan berkurangan apabila kita mencapai sesetengah tahap ketinggian. Dan apabila ia sampai ke satu tahap, oksigen langsung tidak wujud dan ketika ini, dada kita terasa semakin sempit dan tidak akan dapat bernafas secara teratur. Saya yakin anda sendiri mengetahui perkara itu melalui buku sains yang kebanyakan isinya berasaskan penemuan saintis barat. Sebenarnya, penemuan mereka ini telah mengesahkan kebenaran yang telah lama disampaikan Al-Quran iaitu :

Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya Dia melapangkan dadanya untuk Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya , niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman. Surah Al-An’aam, 125

Dengan penerangan ini, saya yakin ianya sudah cukup untuk menolak kritik, dan hujah ini adalah lebih dari memadai untuk menghilangkan sebarang virus keraguan.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host