Saturday, November 22, 2008

Persoalan 3 : Apa beza mukjizat Rasulullah dgn Nabi lain?

Mengapa mukjizat utama Nabi Muhammad diberikan dalam bentuk kitab, bukannya peristiwa ajaib seperti menjadikan api sejuk pada nabi Ibrahim dan membelah lautan dengan tongkat pada Nabi Musa?

Saya yakin anda mengetahui banyak mukjizat berupa peristiwa ajaib yang dikurniakan Allah kepada setiap nabi sebelum Rasulullah. Bahkan Rasulullah juga mempunyai beberapa koleksi mukjizat ‘ajaib’ seperti air yang keluar dari celah jarinya dan lain-lain. Tetapi mukjizat terbesar bagi Rasulullah telah disampaikan dalam bentuk ayat yang kemudiannya dikumpulkan dalam sebuah kitab. Dan anda akan tertanya-tanya, mengapa ia kelihatan begitu ‘biasa’ sahaja, sedangkan ia merupakan mukjizat utama? Untuk memudahkan anda, saya akan beritahu anda jawapannya.

Sebagai agama yang terakhir dan terlengkap, Islam memerlukan sebuah mukjizat yang berterusan dan kekal bersama manusia. Mukjizat itu juga harus sesuai dengan perkembangan pengetahuan dan tingkat pemikiran manusia. Maka, ia mestilah dalam bentuk kitab yang ‘hidup’ bersama manusia, dan sentiasa berupaya menunjukkan ‘kemukjizatannya’ setiap masa, walaupun hayat Rasul yang menyampaikannya sudah lama tidak dikandung badan. Ini diperlukan agar setiap kali manusia mengalami perkembangan, mereka tidak merasakan kitab tersebut tertinggal jauh di belakang, tetapi berjalan seiringan dengan mereka, bahkan selalu menunjukkan arah yang tepat dalam perjalanan.

Kita selalu membaca kisah kehebatan beberapa nabi yang selalu diulang-ulang, seperti kemampuan Nabi Musa menghadirkan ular segagah naga, ia telah melahirkan rasa takjub kepada ahli sihir Fir’aun pada era yang masih magis itu. Dengan pelbagai kemampuan di bidang terapi penyakit, Nabi Isa mampu memikat beberapa umatnya. Tetapi, mukjizat bagi agama terakhir tidak boleh hadir dalam bentuk peristiwa sesaat seperti itu sahaja. Kerana peristiwa tersebut, walaupun memuaskan hati manusia pada masanya, akan menjadi tidak bermakna kepada generasi sesudahnya yang tidak hidup pada zaman itu, lebih –lebih lagi mereka tidak menyaksikannya dengan mata kepala sendiri.

Maka, Al-Quran yang dianggap sebagai mukjizat terbesar Islam, haruslah dalam bentuk kitab di mana setiap generasi dapat menemukan inspirasi, rahmat, pengetahuan dan kebijaksanaan. Wahyu memang sudah berhenti turun pada zaman nabi, tetapi ia tetap terus ‘bekerja’ tanpa henti 24 jam sehari, untuk memandu umat hingga akhir zaman. Ini akan lebih sesuai supaya ia terus berperanan menginspirasi jalan hidup umat Islam dahulu, kini dan selamanya.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host