Saturday, November 22, 2008

AL-QURAN : PEMBACAAN YANG MAMPU MENYENTUH PERASAAN

Apabila kita mula menelusuri Al-Quran lebih jauh terutama surah – surahnya, bermula dengan Surah Al – Baqarah yang panjang, ia akan beransur - ansur bertambah pendek, dan tekanan serta lenggok gaya bahasanya mulai berubah. Kita juga akan melihat kepelbagaian irama, aturan serta nada Al-Quran, dan semakin banyak tekanan ayatnya menyeru perlahan - lahan untuk kita lebih mendekati dan mengenali Allah. Ia membawa kita kepada satu pengalaman, iaitu kita menjadi lebih bersemangat untuk membaca dan menatapnya. Ini merupakan keajaiban, rasa syok, dan perasaan terpanggil untuk terus berdamping dengan Al-Quran, pengalaman yang hanya mampu dikecapi untuk mereka yang benar benar ingin mengenalinya. Saya merasakan, seolah – olahnya Tuhan, melalui Al-Quran mendesak pembacanya “ ucapkan sahaja kalimah ini, pasti Aku akan datang kepadamu dan memudahkanmu, dan pasti hatimu akan merasakan kedamaian.

Apa yang saya ceritakan di atas disahkan sendiri oleh golongan yang pertama kali menerima Al-Quran iaitu bangsa arab. Ketika mereka mendengarkan ayat - ayat dalam bahasa mereka sendiri, gaya bahasanya terasa begitu indah, begitu agung dan begitu kuat sehinggakan, seperti yang diungkapkan Al-Quran, orang kafir pun mengakui bahawa Al-Quran memiliki kekuatan sakti seperti sihir mantera yang mampu men’tercengang’kan minda.

….. (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: “Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata.”(Yunus,2)

Kebanyakan kita juga membaca Al-Quran secara perlahan - lahan, berirama dan terkawal, tetapi apabila mendengar bacaan sesetengah imam berketurunan arab, kita dapat merasakan mereka melepaskan bacaan ayat tersebut dari dalam hatinya. Melalui lenggok suara juga, mereka menekankan ayat yang mengandungi permohonan dengan alunan yang kuat, seolah – olahnya rayuan itu dinyatakan sendiri di hadapan Tuhan secara langsung. Maka, ulama menyatakan, antara unsur yang paling memikat dari Al-Quran adalah gaya bahasanya, kerana gaya bahasa tersebut membuatkan pembacanya benar - benar merasa bahawa dia adalah peserta aktif di dalam wahyu Ilahi. Saya pasti bahawa sesetengah dari anda pernah mengalami pengalaman ‘goyangan badan’ mengikut lenggok irama bacaan Al-Quran ketika sedang membaca atau mendengarnya. Gabungan antara nada alunan, nilai – nilai luhur dan kebijaksanaan ini mampu membuatkan seseorang terpesona sehingga sampai kepada satu tahap yang digambarkan Al-Quran :

…… Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud. Surah Al-Isra’,107.

Soalannya, bagaimana kita mampu mengecap pengalaman ini? Bagaimana Al-Quran mampu menyentuh jiwa melalui unsur bunyian? Jawapannya akan anda temui apabila anda sudah bersedia memposisikan kembali Al-Quran sebagai ‘manual hidup’ anda.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host