Saturday, November 22, 2008

LAGI PERSOALAN PENTING

Lagi persoalan!!

Ada dua kemusykilan.

1. Selain dari menghafaz, adakah terdapat cara lain bagi Allah menjaga Al-Quran?

2. Memang kita mempercayai Al -Quran adalah asli, tetapi adakah ia akan tetap tidak berubah hingga hari kiamat?

Wah, soalan pertama ini paling pintar. Saya merasa tidak sabar untuk memberitahu bahawa kita semua sedang terlibat dalam menjaganya. Sebenarnya, kita memang ditakdirkan untuk ‘bersatu’ bersama Al-Quran. Lihat sahaja di sekeliling anda. Anda akan dapati hampir kesemua buku, tulisan, rencana dan jurnal yang mengalir di dalamnya kebijaksanaan manusia akan mengutip ‘kebijaksanaan Tuhan’ atau ayat Al-Quran sebagai hujah pengesahan. Dan fakta berikutnya, walaupun muncul dari tekaan saya, tetapi rasanya anda sendiri akan bersetuju. Dipercayai bahawa kitab yang paling banyak dikaji oleh manusia ialah Al-Quran, sehingga lahir darinya puluhan malah ratusan kitab tafsir, ribuan buku ilmiah, ratusan ribu rencana dan jurnal, hanya untuk memperihalkannya sahaja. Perkara ini tidak berhenti setakat itu. Walaupun ia telah berjuta kali dibicarakan, setiap tahun anda akan dapati ribuan buku akan dicetak hanya untuk membahaskan penafsiran ayat, dengan input dan dapatan baru. Dan ini, seperti kata para bijaksana : Tip of the iceberg – cebisan kecil dari ketulan yang sangat besar.

Ini baru separuh dari cara Allah memelihara Al-Quran. Separuh lagi dijalankan oleh manusia ajaib, membuat perkara mustahil menjadi tidak begitu mustahil. Setiap perkara berkaitan Al-Quran akan dibincangkan, hatta sehingga barisnya dibicarakan manusia, dan ratusan kitab dicetak hanya untuk membicarakan panjang pendek ketika membacanya sahaja! Ada juga lebih hebat : menghasilkan Quran yang terbesar dan terkecil didunia. Agak memeranjatkan bukan. Jika anda menganggap pahala merupakan motivasi mereka, anda hanya setengah betul, kerana pahala merupakan sesuatu yang faedahnya tidak datang segera di dunia ini. Tentu ada faedah lain iaitu perasaan bertuah memiliki Al-Quran dan rasa bangga kerana nama mereka telah diabadikan dengan usaha meneroka Al-Quran. Abraham Maslow, mahaguru psikologi humanistik menyebutnya sebagai ’Self Actualization’. Atau bahasa mudahnya ’ingin menjadi seperti yang diingini’. Dan saya kira, apabila sesuatu sehebat ini dibentangkan kepada anda, saya tidak nampak bagaimana anda patut melepaskan peluang tersebut.

Sementara soalan kedua, saya hanya boleh katakan, kita selaku manusia yang mempunyai kekuatan cukup terbatas, tidak mampu memberikan jawaban dan jaminan. Kita akan terdiam. Dan mungkin tidak semua perkara harus dijelaskan. Ada saatnya lebih baik kita menyerahkan diri kepada ‘ilmu’ Tuhan. Bukankah Tuhan selalu menjalankan kerjanya dengan penuh misteri? Dan saya tetap berpegang kepada kebenaran ‘kebijaksanaan’ ini : Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janjinya.- Surah Ali-Imran, 9.

Kita akan merasa lebih tenteram kerana Allah, Tuhan yang Maha memegang komitmen, punya kuasa yang tidak terbatas dalam melaksanakan janjinya untuk tetap memelihara keaslian Al-Quran hingga hari kiamat. Andai jika Dia kehendaki, kuasa tersebut akan dijelmakan melalui 2 huruf sahaja : huruf Kaf dan Nun. Perintah KUN yang bermaksud Jadilah!. Maka semuanya akan terlaksana.

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia. Surah Yasin, ayat 82

Dan yang paling kita perlukan ialah iman dan keyakinan yang sentiasa panjang daya hidupnya. Iman yang melahirkan manusia suci. Manusia sejati yang tubuhnya menapak di bumi, tetapi ruhnya ‘bergantung’ ke Arasy Tuhan. Malah, saya tetap yakin, selagi bumi yang kita diami ini tidak berhenti berputar, selagi itulah Al-Quran akan terus wujud mencorakkan kehidupan manusia.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host