Saturday, November 22, 2008

PERSOALAN BERKAITAN ALQURAN

Persoalan 1 : Mengapa Al – Quran diturunkan dalam Bahasa Arab?

Menarik untuk dinyatakan bahawa saya mendapat soalan ini dalam satu sesi kuliah, datangnya dari beberapa orang pendengar yang bersungguh - sungguh melemparkan soalan tersebut. Dengan sabar, perlahan – lahan saya jelaskan bahawa Al-Quran diturunkan untuk memberikan respon ke atas beberapa permintaan dan pertanyaan orang arab pada waktu itu. Al-Quran sendiri menerangkan permintaan mereka :

“Mereka berharap agar diturunkan kepada mereka ayat – ayat dari Tuhannya. Katakanlah (Muhammad), ‘ayat – ayat tersebut sudah ada pada Allah, dan aku tidak lain hanya pemberi peringatan yang nyata’. Surah Ankabut, 50

Maka, sudah pasti ia perlu diturunkan dalam bahasa Arab untuk menjelaskan setiap persoalan yang mereka timbulkan sebelum disebarkan kepada seluruh manusia.

Begitu juga, Allah sengaja memilih bahasa arab sebagai ‘bahasa Al-Quran’ untuk menunjukkan mukjizatnya kepada bangsa arab. Mereka yang pada waktu tersebut mempunyai kehebatan yang begitu tinggi dalam bahasa dan sastera, hinggakan setiap karangan puisi yang diiktiraf akan digantung di Kaabah sebagai tanda kebanggaan. Maka, apabila turun sebuah ‘karangan’ yang memiliki mukjizat mengatasi pencapaian seni bahasa mereka, ia telah melemahkan segala kebanggaan tersebut, dan secara beransur-ansur membuatkan mereka beriman. Inilah juga antara rahsia turunnya Al-Quran dalam bahasa Arab.

Persoalan 2 : Mengapa kitab Allah lain seperti Zabur, Taurat dan Injil telah ‘hilang’, sedangkan Al-Quran tetap kekal terpelihara?

Tidak ada persoalan yang paling sukar dihadapi kecuali soalan ini. Saya masih teringat dalam beberapa sesi kuliah, saya diajukan soalan sama, bertubi – tubi, hinggakan kalau saya mampu, ingin saja saya memohon agar Malaikat Jibril menurunkan kembali kitab – kitab tersebut. Dalam keadaan seperti itu, saya bertawakal kepada Allah, dan memberikan satu jawapan pendek yang cukup berharga : “Jawapannya ialah kerana Al-Quran merupakan kitab suci yang terakhir. Jika Al-Quran rosak, diubah atau tercemar, akhirnya umat manusia tidak mempunyai panduan hidup lagi”.

Memang Al-Quran tetap akan terpelihara sehingga hari kiamat. Dengan segala kehebatanNya yang sangat luarbiasa, Allah telah melakukan beberapa cara yang cukup misteri tetapi berkesan untuk terus mengekalkan Al–Quran. Maka apabila Al-Quran dikekalkan dengan bantuan kuasa ‘luarbiasa’. Allah sangat yakin untuk melemparkan satu cabaran yang tidak akan dapat dilaksanakan oleh ‘makhluk biasa’, iaitu, jika sekelian manusia, termasuk cerdik pandai, cendikiawan, professor, ditambah dengan kepintaran makhluk jin sekalipun, mereka tetap akan gagal untuk mencipta walau satu ayat seperti Al-Quran.

Katakanlah: “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al Qur’an ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebagian mereka menjadi pembantu bagi sebagian yang lain”. Surah Al-Isra’ 88.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host