Saturday, November 22, 2008

PENGUMPULAN ZAMAN SAIDINA UTHMAN - LAGI THRILL!!

Saidina Uthman telah mengambil takhta pemerintahan Khalifah Islam dari tangan Saidina Umar yang telah wafat. Beliau amat menyedari tanggungjawab besar yang sedang dipikul. Setelah Saidina Umar meletakkan pemerintahan Islam di landasan yang betul, maka tugas Saidina Uthman ialah memastikan ia bergerak di landasan dengan betul-betul. Ditangannya Islam mula berkembang dan semakin meluas, dan ditangannya juga penuh dengan pengharapan yang besar. Walau bagaimanapun, tidak beberapa lama dalam pemerintahannya, kejadian yang menakutkan mana-mana pemerintah telah mulai tiba : kerusuhan sosial dan rasukan peperangan serta ketaksuban.

Peperangan yang berlaku sebenarnya telah membuka pintu beberapa masalah lain. Kali ini ia mula dikesan pada tahun kedua atau ketiga dari pemerintahan beliau, iaitu bermula pada tahun 25 hijrah. Walaupun semua umat Islam memegang akidah yang sama, tetapi wajah pengamalannya sudah agak berbeza. Pada zaman di mana Islam semakin meluas dan pengikutnya bertambah ramai, perbezaan bacaan Al-Quran semakin ketara. Bayangkan sahaja, penduduk negeri Syam, misalnya mengambil bacaan menurut kaedah sahabat Nabi seperti Ubai bin Kaab, manakala penduduk Kufah lebih sesuai dengan bacaan Abdullah bin Mas’ud, sementara yang lain lebih menggemari bacaan Abu Musa Al-Asy’ari. Begitulah terus-menerus, sehinggalah mereka bertemu dan berkumpul semasa memerangi negeri Armenia dan Azerbaijan, perbezaan ini telah bertembung dan mengakibatkan perselisihan yang dasyat. Kita mungkin boleh sahaja memahami perbezaan bacaan antara para sahabat kerana Al-Quran sendiri diturunkan mengikut 7 lahjah (dialek) yang berbeza. Tetapi tidak pada mereka. Masing – masing menegakkan bacaan kelompok masing-masing. Pada waktu ini, kelapangan hati sudah tidak diperdulikan. Perkataan diplomasi sudah tidak ada dalam kamus pemikiran mereka. Yang ada hanyalah bentakan-bentakan keras disusuli dengan caci-mencaci yang menyakitkan telinga, seterusnya mengundang api kemarahan.

Hero kita pada kali ini ialah Abu Huzaifah Al-Yamani. Beliau menyedari bahaya ‘api dalam sekam’ yang semakin merebak. Terfikir dihatinya, jika perkara ini dibiarkan, umat Islam mungkin berpecah-belah. Mungkin saja di tengah perang yang sedang berkecamuk itu, beliau masih memikirkan hal tersebut. Padahal anak panah melintas di antara kedua tangannya, diantara kedua telinganya. Bagi beliau, perbezaan dialek bacaan itu akan menimbulkan masalah yang lebih besar dari peperangan yang sedang dihadapi.

Abu Huzaifah tidak menunggu lama. Usai saja perang, beliau terus mengadukan perkara itu Khalifah Uthman. Mungkin lebih kurang tuturnya “Wahai Amirul Mukminin, Buatlah sesuatu untuk umat ini sebelum mereka berselisih faham dengan lebih teruk sebagaimana yang telah berlaku di kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani !”.

Mungkin ketika itu terdetik di hati Abu Huzaifah, Saidina Uthman berhak untuk percaya atau tidak, akan tetapi, dia mengetahui, itulah realiti yang sedang dihadapi. Bibit perpecahan mula melebar dan meluas. Sebelum ia menjadi barah yang merosakkan perpaduan umat Islam, sesuatu langkah perlu diambil oleh khalifah. Dan langkah ini perlu segera. Tidak selepas perang, tidak selepas sahabat pulang, apatah lagi ditangguhkan. Sekarang. Begitulah mungkin bisikan hati Abu Huzaifah.

Disebalik ketenangan dan kelembutannya mendengar kebimbangan tersebut, Saidina Uthman sebenarnya amat peka dan mengambil berat masalah ini. Beliau terus menerima cadangan bernas Abu Huzaifah dan memulakan kembali projek raksasa yang pernah dilaksanakan oleh Saidina Abu Bakar. Tetapi kali ini memakan tuntutan amanah yang lebih besar dan berat. Seperti biasa, ‘arkitek Al-Quran terulung’ – Zaid bin Tsabit dipilih untuk mengetuainya. Dan beliau ditemani oleh jawatankuasa yang lebih berketerampilan, dengan kehadiran beberapa sahabat ‘pembantu arkitek’ seperti Abdullah bin Zubair, Said bin Al-As dan Abdul Rahman bin Harith untuk menyalin Al-Quran kepada beberapa mashaf.

Walaupun mereka menjadikan suhuf yang ditulis pada zaman Saidina Abu Bakar sebagai rujukan utama, tetapi masih ada alasan lain untuk berhati-hati. Perintah Saidina Uthman “Jika kamu berselisih pendapat dengan Zaid bin Thabit pada sesuatu dalam penulisan Al-Quran itu, maka tulislah menurut loghat Quraisy, kerana sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan menurut lidah mereka”. Begitulah antara lain pesanan Khalifah. Ternyata pesanannya benar. Khilaf dan perselisihan faham mula berlaku. Kali ini, ia mengambil tempat pada perkataan ‘tabut’ di ayat 248, Surah Al-Baqarah. Menurut pendapat Zaid, huruf Ta’ terakhir ditulis dengan Ta’ Marbutah, (Ta’ simpul), sementara sahabat lain berpendapat sebaliknya. Ia lebih tepat ditulis dengan Ta’ Maftuhah (Ta’ terbuka). Akhirnya titah Khalifah telah dijunjung. Perkataan itu ditulis dengan Ta Maftuhah kerana begitulah bunyi bacaannya menurut loghat Quraisy. Begitulah keadaannya menurut riwayat yang telah diperturunkan.

Selepas melalui waktu yang cukup berat, tekanan dan sedikit kegelisahan, pada akhirnya, tugas ‘memindah gunung’ buat kali kedua itu selesai dilaksanakan. Zaid, sudah tentu pada kali ini boleh tersenyum lebar dan menghela nafas kepuasan. Beliau memang merasa tenang, kerana kali ini ia bukan ditulis sekali sahaja seperti sebelumnya, tetapi ditulis sebanyak 6 mashaf! Setiap satu darinya dihantar ke kota besar Islam sebagai panduan mashaf Al-Quran utama iaitu Basrah, Kufah, Syam, Mekah, Madinah dan senaskhah lagi yang digelar sebagai ‘Mashaf Imam’, berada dalam simpanan Khalifah.

Sebagai langkah berhati-hati, setiap mashaf yang dihantar diiringi oleh ‘Tuan Guru’ yang berkaliber untuk mengajarnya. Abdullah bin Saaib menjadi tuan guru di Mekah, Mughirah bin Syihab mengiringi mashaf Syam, Abu Abdul Rahman As-Salami pergi bersama mashaf Kufah dan Amir bin Qais mendampingi mashaf ke Basrah. Sementara Zaid sendiri, akan menjadi mahaguru utama di Madinah Munawwarah.

Boleh kita bayangkan, bagaimana bahagianya Saidina Uthman apabila urusan itu dapat diselesaikan. Kebahagiaannya begitu terserlah kerana pada kali ini, poses penulisan itu mendapat restu dan pengiktirafan dari lebih 12,000 para sahabat. Mungkin juga Saidina Uthman merasa amat lega kerana beliau berjaya melaksanakan tanggungjawab yang sangat penting, masalah yang jika tidak diselesaikan, akan mengakibatkan dosa yang tidak pernah dimaafkan : perpecahan umat Islam. Dan Saidina Uthman kini, mampu bersemadi sambil tersenyum, mengadap Tuhan dengan damai, walaupun kematiannya berlangsung secara agak tragis : pembunuhan. Malaikat akan tetap menyampaikan pahala ‘amal jariah’nya selagi umat Islam membaca Al-Quran Resam Uthmani – jolokan kepada pengasasnya.

SETERUSNYA…

Begitulah seterusnya Al-Quran telah kekal bersama manusia hingga ke hari ini. Bagi sekitar 1.4 bilion pengikutnya, Al-Quran terus menjadi pusat ledakan utama kebijaksanaan Tuhan, sumber utama kesucian tertinggi, dan keindahan ungkapan yang terbaik, di mana ia mampu mengarah, melembutkan, menghilangkan kegelapan dan memimpin keseluruhan pengikutnya. Dan secara pasti, Al-Quran juga mengalami sedikit proses evolusi dengan beberapa penambahan yang diwajarkan seperti tanda mad, baris, harkat, tanda waqaf dan saktah, pembahagian juz sehinggalah yang terkini, ditandakan dengan kod warna bagi mengenali sebahagian hukum tajwidnya. Bagi saya, ini adalah contoh terkuat bagaimana Al-Quran memiliki ruang tersendiri dalam hati nurani manusia. Dan ia akan tetap memainkan peranannya sebagai kitab yang memasuki ruang-ruang pengharapan dan misteri yang tidak mampu dijawab oleh akal dan kebijaksanaan manusia. Jawapan penyelesaiannya akan terus diikuti, dicintai dan didampingi umat Islam keseluruhannya.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host