Saturday, November 22, 2008

PENGUMPULAN QURAN ZAMAN SAIDINA ABU BAKAR

Zaman Saidina Abu Bakar dimulai dengan kejadian huru-hara dan murtad di sana-sini. Sesetengah umat Islam yang imannya lebih nipis dari kulit bawang mudah terkoyak dan dicarik imannya. Sekumpulan kecil lain melangkah lebih jauh dari itu, menggelar diri sebagai ‘rasul baru’. Wira yang tidak diundang ini tentulah Musailamah Al-Kazzab ‘si penipu’. Gelarannya saja membuatkan dirinya dipenuhi celaan dan mengundang permusuhan umat Islam. Maka Saidina Abu Bakar tidak menunggu lama. Perang Yamamah diisytiharkan. Bangkitlah beribu-ribu umat Islam yang dadanya berkobar-kobar dengan semangat untuk mempertahankan Islam menyahutnya. Mungkin juga mereka ternampak peluang ‘syahid’ – mendapat tiket syurga secara percuma dengan pelepasan ruh suci dari tubuh ke langit kerana niat syahid telah menciptakan semangat suci, semangat yang diberkati Allah sendiri.

Secara pasti untuk disebutkan disini, Musailamah Al-Kazzab dan pengikutnya berjaya dihapuskan. Pemberontakan telah dipatahkan dengan jayanya. Tetapi umat Islam terpaksa membayar harga yang agak mahal. Puluhan sahabat, dikatakan seramai 70 orang yang kesemuanya hafaz Al-Quran, gugur syahid dalam pertempuran itu. Maka Saidina Umar, menyedari sesuatu buruk akan berlaku jika ramai penghafaz Al-Quran gugur di medan-medan perang seterusnya. Masa depan Al-Quran sedang berada di hujung tanduk. Beliau menghadapi satu cabaran utama yang menuntut kebijaksanaan yang amat tinggi, dan sebagai seorang yang kepintarannya diiktiraf Tuhan, beliau mengesyorkan kepada Saidina Abu Bakar agar Al-Quran dikumpulkan.

Ketika ini, Saidina Abu Bakar sedang dihadapkan pilihan yang sulit : membukukan Al-Quran atau tetap berpegang pada warisan rasul. Dan Saidina Umar sudah menjangkakan, cadangannya tidak akan mendapat persetujuan mudah seperti yang dijangka. Saidina Abu Bakar sangat bimbang dan kebimbangan itu sebenarnya mempunyai alasan. “bagaimana kita hendak membuat sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah?” Beliau menyanggah Saidina Umar. Tetapi Saidina Umar, yang terkenal dengan ketegasannya, tetap bertenang. Kali ini, gelaran Al-Farouq yang disandang, bermakna pemisah antara hak dan batil lebih menguasai dirinya. Beliau lantas meyakinkan sang Khalifah : itulah realiti yang sedang berbicara. Dikala menghadapi situasi sukar seperti peperangan ini, kita terpaksa membuat keputusan-keputusan sukar membukukan Al-Quran untuk mengelakkan akibat yang lebih sukar kemudian hari.

Akhirnya, kedua sahabat besar ini bersetuju. Mereka lantas bersepakat membentuk satu ‘jawatankuasa’ yang diketuai oleh Zaid bin Tsabit untuk dalam rangka melaksanakan tugas suci dan besar itu. Pemilihan Zaid sebagai ’pengerusi’ amat tepat. Dalam diri Zaid, Khalifah melihat iman dan komitmen keIslaman yang tinggi, penghayatan Islam yang amat mendalam, serta penguasaan ilmu penulisan ayat Al-Quran yang begitu sempurna yang memungkinkan beliau dianggap sebagai ’the right man’ untuk mengetuai projek raksasa itu. Dan sebagai bonus tambahan, Zaid juga mengiringi Rasul dalam pertemuan terakhir bersama Malaikat Jibril untuk menyemak bacaan Al-Quran.

Zaid, ketika menerima tugasan membukukan Al-Quran merasa sangat berbesar hati, seolahnya bagai menerima anugerah dari langit. Tetapi selepas beberapa ketika, Zaid merasakan ia begitu berat. Bahkan sangat berat. Perasaan sukar itu bergema begitu kuat dalam dirinya sehingga terkeluarlah kata-kata : “Demi Allah, jika engkau menyuruhku untuk mengalihkan gunung, kurasakan ia lebih mudah dari menulis dan membukukan Al-Quran”. Zaid menyedari hakikat ini. Ia adalah projek raksasa berbentuk amanah, satu amanah yang jika diletakkan pada langit, bumi dan gunung pun, tidak ada yang sanggup memikulnya, Mungkin ketika itu, suara amaran Al-Quran jelas terngiang-ngiang :

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil.

Surah Al-Ahzab, 72

Kemudian, dengan beberapa sesi perbincangan yang agak panjang dan sedikit diplomasi, Allah telah membuka hati Zaid untuk menyanggupinya. Beliau sedar, cadangan ini datangnya dari seorang Khalifah yang hatinya dipenuhi dengan kecintaan kepada Allah. Dan akhirnya, demi ketaatan kepada Khalifah, dan – ini alasan sebenarnya – demi kelangsungan ’masa depan’ Al-Quran, Zaid telah memulakan tugasnya dengan begitu teliti, menjadikan iman sebagai pedoman dengan tidak mencampurkannya bersama urusan ’nafsu’, serta keazaman untuk melaksanakannya sesempurna mungkin dengan tidak membuat kerja ’asal boleh’.

PROJEK YANG LEBIH SUKAR DARI ’MENGALIH GUNUNG’ BERMULA.

Maka Zaid, dengan bantuan Khalifah mula mengumpulkan segala catatan Al-Quran temasuk yang dihafaz sahabat. Saidina Abu Bakar pula memerintahkan seluruh kaum muslim untuk membawa naskah tulisan ayat Al-Quran yang mereka miliki ke Masjid Nabawi untuk diteliti oleh Zaid dan jawatankuasanya. Dalam hal ini, Zaid telah menegaskan, beliau tidak akan menerima satu ayat kecuali setelah memenuhi dua syarat:

1 : Ia harus sesuai dengan hafazan para sahabat.

2 : Tulisan tersebut benar-benar ditulis atas perintah dan di hadapan Rasulullah.

Sebagai langkah ketelitian, untuk membuktikan syarat kedua tersebut, ia harus berdasarkan dua orang saksi yang sangat dipercayai. Proses pengumpulan ini pada mulanya berjalan lancar. Tetapi seperti biasa, kesulitan tetap muncul di tengah jalan. Kali ini datangnya dari ayat 128, Surah At-Taubah. Hampir majoriti sahabat, termasuk Zaid sendiri menghafaznya. Beliau pasti akan hal itu. Tetapi ia tidak ditemukan pada mana-mana tulisan yang ada pada waktu tersebut. Pada saat yang begitu merisaukan itu menyelubungi perasaan setiap yang berada di kota Madinah, penyelamat yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Ayat yang berbunyi ‘Laqad ja’akum Rasul min anfusikum ‘azizun ‘alaihi ma ‘anittum harisun ‘alaikum bil mu’minina Ra’uf al-rahim’ itu telah ditemukan pada tulisan sahabat yang bernama Abu Khuzaimah Al-Ansari. Suasana cemas itu telah hilang digantikan dengan helaan nafas kelegaan. Senyuman dan teriak kesyukuran lantas bergema di mana-mana.

Demikianlah, Al-Quran telah dibukukan dan dikenali sebagai ‘suhuf’. Dan tentunya manusia yang paling gembira pada waktu tersebut ialah Zaid, kerana tugas berat ‘yang lebih sukar dari mengalih gunung’ telah berjaya dilaksanakan. Ia bukan sahaja menghasilkan satu Al-Quran yang dikumpulkan, tetapi ia juga adalah gambaran kepuasan hati, komitmen tinggi, titik peluh dan juga hasil usaha yang bertungkus-lumus. Al-Quran itu telah disimpan oleh Saidina Abu Bakar sepanjang pemerintahannya, dan apabila beliau wafat, ia telah disimpan oleh Khalifah kedua, Saidina Umar Al-Khattab. Apabila giliran beliau pula dijemput bertemu Tuhan, ia telah beralih ke dalam simpanan anaknya, Hafsah binti Umar. Kita akan menyambung lagi perkembangan cerita menarik ini pada masa Saidina Uthman Al-Affan.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host