Saturday, November 22, 2008

BAGAIMANA IA DIKUMPULKAN – MENELUSURI SEJARAH AL-QURAN

Selama ini, kita sudah mengenal sejumlah cerita Rasulullah yang sudah menjadi lagenda : Kisah Al-Quran pertama kali ’menjejakkan kaki’nya di Gua Hira’ hinggalah ayat terakhir yang turun dengan diiringi tangisan kesyukuran : tanda sempurnanya satu anugerah dari langit ke bumi. Dan pada kali ini, kita akan memperdalaminya dengan menjejaki semula sejarah pengumpulan Al-Quran. Sejarah pengumpulan ini sebenarnya amat penting. Ia boleh saja dijadikan sebagai guru terbaik, kerana ia mengingatkan kita bahawa yang pahit mungkin sahaja ubat antibiotik, tetapi ia mampu menjadi penyembuh yang mujarab. Mungkin juga pada sesetengah kejadian, ia menjadi aliran waktu yang mampu menjangkau ke kawasan yang paling terjauh. Itulah antara kelebihan sejarah : perakam kisah ummah. Untuk memudahkan kita memahaminya, saya mengajak anda menoleh semula ke zaman sebelum hijrah, untuk mengalami sendiri kesedaran masa lalu, seterusnya menghayati kesukaran dan keazaman Rasul menerima dan mengumpulkan Al-Quran, sehingga ia sampai ke tangan kita setelah melalui jarak masa yang cukup panjang.

Dan disini akan berlegar tiga nama besar – Saidina Abu Bakar As-Siddiq, khalifah Islam pertama, sahabat terdekat nabi yang begitu pintar dalam memperkuatkan Islam, Saidina Umar Al-Khattab, seorang di mana tiket syurga didalam genggamannya, sering menampilkan kuasa karisma kepada para penakjub beliau, dan Saidina Uthman Al-Affan, yang tidak asing lagi dalam usahanya mengumpulkan Al-Quran, menjadikan nama beliau sinonim hingga ke hari ini : Mashaf Resam Uthmani. Termasuk juga nama yang wajib disebut apabila membicarakan sejarah agung pengumpulan Al-Quran ialah Zaid bin Tsabit, penulis wahyu utama, di mana dari kesungguhan dan ketelitiannya, mengalir kebijaksanaan Al-Quran dari satu generasi ke generasi hingga sampai kepada kita.

Kita akan menghayatinya satu persatu, ditandai dengan zaman Rasulullah, sehinggalah ia sempurna di dalam satu mashaf yang diiktiraf pada zaman Saidina Uthman.

ZAMAN RASULULLAH – BERMULANYA ERA BARU.

Perjalanan meneliti sejarah agung, bagaimana Rasulullah berjaya ‘memasyarakatkan Al-Quran dan meng’Quran’kan masyarakat’ dimulakan dengan berpandukan ayat ini :

Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah . Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.
Surah Jum’ah, 2

Al-Quran mula diturunkan ketika baginda berusia 40 tahun. Bagaimana? : Sedikit demi sedikit. Tempoh : selama 23 tahun. Keadaan peristiwa : berdasarkan kejadian dan keperluan, situasi dan keadaan, soalan yang ditanyakan kepada nabi serta keraguan yang ditimbulkan oleh musuh Islam. Di sebalik semua itu, visi utama Al-Quran ialah sebagai gema Tuhan berbentuk pedoman, guna untuk menguatkan akidah muslim dan syariatnya, selain misi utama – mentarbiah ummah.

Berdasarkan fungsi tersebut, maka tidaklah menghairankan apabila ia diturunkan secara beransur-ansur. Perumpamaan berikut mungkin boleh juga menggambarkan kewajarannya. Al-Quran adalah umpama ‘perhiasan’ yang begitu bergemerlapan. Melihat “barang cantik” dalam jumlah yang banyak dan sekaligus, kadang-kala dapat menghilangkan pesona barang-barang tersebut. Kecantikan, sebenarnya perlu dinikmati secara ‘satu persatu’. Barangkali, kerana itulah wahyu “diturunkan” kepada Rasulullah secara beransur-ansur. Wahyu yang datang ‘menggelongsor’ secara pukal, sudah pasti akan membuatkan hilang daya tarik dan daya pikatnya.

Pada waktu itu, Rasulullah menghafaznya dan para sahabat juga demikian. Baginda juga menyuruh beberapa sahabat untuk menulisnya dengan beberapa arahan seperti yang terakam dalam hadis “Letakkan surah sekian disebelah surah sekian dan ayat sekian selepas ayat sekian”. Begitulah seterusnya proses itu berjalan lancar. Dengan segala kehebatan penurunannya, proses penulisan itu dibuat secara sangat sederhana. Ada antara sahabat yang menulisnya pada kulit binatang, kepingan batu, pelepah kurma, perca dan juga tulang haiwan. Bayangkan tahap kesukaran untuk ‘membaca’ Al-Quran pada waktu tersebut, zaman di mana komputer dan mesin taip masih belum diciptakan walaupun di dalam mimpi. Mungkin saja ayat 50 Surah Ali-Imran tertulis di pelepah kurma sementara sambungannya di kepingan batu!

Sebagai kesimpulan, penulisan Al-Quran pada zaman nabi telah tertulis semuanya, tetapi ia masih berselerak dan tidak dikumpulkan pada satu mashaf. Tetapi nabi tidak risau hal ini kerana ramai sahabat yang menghafaznya, ditambah lagi dengan situasi ayat Al-Quran yang masih turun. Ia juga merupakan satu hikmah, kerana walaupun mereka digelar ‘masyarakat buta huruf’ seperti pada ayat di atas, tetapi mereka mempunyai daya ingatan yang amat tinggi. Maka apabila Al-Quran turun pada masyarakat berlabel sedemikian, nilai ‘kemukjizatannya’ akan semakin ketara.

Yang pasti, untuk menambahkan lagi keyakinan nabi, baginda akan kembali bertemu ‘mahaguru’nya – Malaikat Jibril untuk menyemak bacaan Al-Quran. Ia dilakukan sekali pada setiap tahun kecuali pada ‘Urdatul Akhirah’ – pertemuan terakhir sebelum baginda wafat di mana ia telah diadakan sebanyak dua kali, dengan Zaid Bin Tsabit hadir pada semakan terakhir tersebut.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host