Thursday, July 22, 2010

KEHIDUPAN di dunia ini pasti menempuh pelbagai masalah sama ada yang melingkari ruang lingkup peribadi, hal ehwal kekeluargaan, bidang pekerjaan dan sebagainya. Siang dan malam kita dihambat dengan tuntutan hidup yang tidak berkesudahan. Kita sentiasa menggunakan daya akal dan upaya fikir untuk memenuhi keperluan tersebut.

Namun, sibuk dan padat macam mana pun urusan hidup, ibadah yang dituntut agama mesti dilaksanakan agar kehidupan disinari cahaya hidayah dan mendapat keberkatan. Antara yang wajar seseorang mukmin lakukan sebagai agenda rutin harian ialah melakukan qiamullail iaitu solat malam. Tambah pula jika kita amalkan solat malam atau qiamullail ini semasa Ramadan, sudah tentu ganjaran pahalanya sangat besar di sisi Allah sekali gus mampu membentuk daya dinamika jiwa yang murni.

Allah berfirman dalam Surah Al-Muzammil ayat 6 bermaksud, ‘Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan (al-Quran) pada waktu itu lebih berkesan.’ Kita mesti mengambil berat dan membiasakan diri untuk melakukan ibadah qiamullail kerana di dalamnya terkandung sumber kekuatan yang akan memantapkan iman.


Melakukan solat malam seperti solat tahajud yang dilaksanakan pada kesunyian malam itu memberikan kekhusyukan sempurna kerana pada masa itu kita bermunajat pada Allah dalam suasana sepi, jauh daripada keriuhan urusan hidup lain.


Inilah mekanisme mendekatkan diri pada Allah yang sangat berkesan dan dapat menyalurkan rasa keinsafan mendalam atas dosa yang dilakukan. Jadi, beruntunglah orang yang sentiasa melakukan solat malam itu secara berterusan kerana selain memantapkan takwa dan iman, ia membolehkan seseorang khusyuk bermuhasabah diri merenung segala dosa lalu sambil memanjangkan doa memohon keampunan daripada Allah.


Firman Allah dalam surah Al-Muzammil ayat 20 bermaksud, ‘Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawasanya kamu berdiri (solat) kurang daripada dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiganya.’ Manakala hadis berikut menerangkan kepada kita tentang keutamaan qiamullail melalui sabda Rasulullah s.a.w, ‘Solat yang paling utama selepas solat wajib ialah qiamullail (solat malam).’ (Hadis riwayat muttafaq ‘alaih) Kerana pentingnya solat malam itulah sahabat nabi sangat tekun dan membiasakan diri mendirikan solat malam sebagai amalan utama.


Solat malam atau qiamullail sangat disukai Allah sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud, ‘Solat yang paling dicintai Allah ialah solat Nabi Daud a.s, dia tidur setengah malam dan bangun (untuk solat) sepertiga malam dan tidur pada seperenam malam.’ (Hadis riwayat Bukhari). Ini pesanan Rasulullah kepada umat Islam agar menjadikan solat malam sebagai atur cara ibadah harian sepanjang hayat. Dalam satu lagi pesanan Rasulullah yang bermaksud, ‘Sebaik-baik umatku adalah penghafal dan pengamal al-Quran dan orang-orang yang membiasakan solat malam.’ (Hadis riwayat Ibn Abi Dunya dan al-Baihaqi) At-Tirmizi turut meriwayatkan satu lagi hadis tentang keutamaan solat malam. ‘Lakukan solat malam. Sesungguhnya itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Cara pendekatan diri kepada Allah, pelebur dosa dan pencegah kemaksiatan.’ Dikisahkan untuk membiasakan diri melakukan solat malam, Ali Al-Khawas memerintahkan anak muridnya untuk berniat akan bangun malam pada petang harinya. Bahkan, dengan niat itu saja sudah merupakan kebaikan dan mendapat pahala. Rasulullah mengatakan, ‘Sesungguhnya setiap orang akan memperoleh apa yang diniatkan.’ Tempat untuk melaksanakan solat malam paling afdal ialah di rumah. Ini bertujuan agar rumah tempat dilakukan solat malam akan turut mendapat berkat, maknanya ikut ‘bersinar’. Rasulullah bersabda, ‘Sebaik-baik solat adalah di rumah, kecuali solat fardu. Sabda nabi lagi, ‘Solatlah di bilik-bilik rumahmu. Maka sinar rumahmu akan nampak dari langit bagai bintang-bintang.’ Sebahagian ulama menyatakan bahawa keutamaan solat sunat yang dilakukan di rumah adalah seperti keutamaan solat fardu yang dilakukan di masjid. Dalam sebuah riwayat Abu Jalad, suatu ketika Nabi Isa a.s. bertanya kepada iblis, ‘Demi Allah, apa yang menyebabkan badanmu kurus dan bongkok? Jawab iblis, yang menyebabkan kurus badanku adalah disebabkan derap kaki kuda yang digunakan dalam medan perang. Sedang yang membuat bongkok punggungku adalah lelaki yang melakukan solat fardu di masjid dan solat sunat di rumah.’ Begitulah kedudukan solat malam pada setiap individu Muslim. Walaupun mungkin selama ini kita sukar hendak melaksanakannya, tetapi sebagai umat Islam kita mesti belajar melatih diri dengan bersungguh-sungguh dalam usaha mendirikan solat malam. Malah, jika kita berasa sangat berat bangun malam untuk melakukan solat malam, kita perlu segera meneliti diri semula, kemungkinan ada kesalahan dan dosa dilakukan. Ini kerana dosa yang dilakukan menjadi penghalang untuk ringan bangun malam melaksanakan solat malam. Jadi, kita kena segera membersihkan dosa itu dengan segera bertaubat secara bersungguh-sungguh bagi memudahkan kita menunaikan solat malam dengan sempurna.


Menyentuh mengenai solat malam ini, ada baiknya kita merenung kembali kisah Saidina Umar al-Khattab iaitu seorang khalifah yang sangat menjaga ibadah solat malam. Dikisahkan pada suatu malam datang seorang utusan dari Iraq dan singgah sebentar di masjid. Setelah Umar selesai solat, dia mendekati tamu itu sambil bertanya kepadanya. Tamu itu menjawab apa yang ditanya khalifah. Dia tidak menyedari bahawa dia sedang berhadapan dengan Khalifah Umar. Setelah kedua-duanya selesai bersoal jawab, Umar berkata, ‘Mengapa tuan tidak pergi menemui khalifah kemudian memberi khabar? Jawab tamu itu, apakah dapat berjumpa dengannya pada saat akhir malam ini? Jawab Umar, sayalah Umar.’ Mendengar jawapan Umar, tamu itu berasa sangat hairan dan kagum sebab Umar masih berjaga malam dan belum tidur. Ketika itulah Umar mengatakan, ‘Jika saya tidur di malam hari bererti saya mensia-siakan diri saya sendiri. Dan jika saya tidur di siang hari bererti saya mengabaikan umat Islam.’ Demikian kisah seorang khalifah yang sangat menjaga ibadah malam dan sewajarnya kita jadikan pedoman meneladaninya. Jadikanlah amalan solat malam sebagai rutin harian hidup kita agar fizikal dan jiwa sentiasa terjurus ke landasan kesempurnaan yang diredai Allah. Insya-Allah.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host