Saturday, November 22, 2008

BAGAIMANA NABI MENERIMA WAHYU?

Baginda Rasulullah memperolehi wahyu melalui 3 cara iaitu :

1 : Melalui Malaikat Jibril yang datang menemui Rasulullah dalam bentuk rupanya yang asli. Contohnya ketika pertama kali Malaikat Jibril menyerlahkan rupanya yang sebenar dihadapan Rasulullah di Gua Hira’. Kehadirannya bukan sahaja menghadirkan kejutan yang begitu menggemparkan, bahkan mencetuskan sedikit rasa gementar dengan debaran yang hebat kepada Rasulullah. Bayangkan sahaja, ketika anda keseorangan, tiba-tiba anda didatangi makhluk yang sangat pelik dan luarbiasa, tidak pernah dilihat sebelumnya. Ditambah lagi dengan kehadirannya hujung bukit, sangat jauh dari manusia.

Tenyata, ‘lawatan mengejut’ Malaikat Jibril itu telah menjadi satu titik tolak dalam kehidupan Nabi. Melalui ayat Iqra’ yang telah diterima, Rasulullah mula melihat dirinya tidak lagi sebagai seorang manusia biasa, bahkan telah dilantik secara formal untuk menjadi Rasul- utusan Tuhan menyebarkan kebenaranNya.

2 : Ada juga, kadang-kala, Malaikat Jibril datang menemui Baginda dengan menyamar atau menyerupai bentuk manusia biasa. Pernah satu ketika, dalam hadis yang amat panjang mengenai Islam, Iman dan Ihsan, Malaikat Jibril datang, berpakaian serba putih, mengajarkan Nabi mengenai ketiga-tiga tonggak agama itu. Bahkan Aisyah, isteri Rasulullah sendiri pernah menyatakan salah satu pengalamannya, melihat sendiri detik yang begitu berharga itu : Aku pernah melihat tatkala wahyu sedang turun kepadanya pada satu hari yang amat dingin, Lalu malaikat itu pergi, sedangkan peluh mencucur deras dari dahi Rasulullah. Riwayat Bukhari.

3 : Nabi tidak dapat melihat Malaikat Jibril ketika menerima wahyu, tetapi Baginda menyedari kehadirannya melalui bunyi seperti suara lebah dan bunyi loceng. Wahyu yang diterima dalam keadaan begini dikira amat berat bagi Nabi sehinggakan Baginda menitiskan peluh yang banyak, walaupun cuaca pada waktu itu amat sejuk. Dinyatakan, apabila wahyu dalam bentuk ini turun kepada Rasul, Baginda terpaksa mengumpulkan segala kekuatannya untuk menerima, menghafaz dan memahami wahyu tersebut. Keadaan ini dirasakan begitu berat, kerana Rasulullah terpaksa menyesuaikan keadaan rohaninya supaya seimbang dengan tingkat kerohanian malaikat, dan juga dengan wahyu yang sedang diterima.

Ketiga-tiga bentuk penyampaian wahyu di atas akan berlaku berkali-kali dalam hidup Baginda hingga selesai kesemua ayat Al-Quran diturunkan. Walaupun sesetengah dari ayat itu diturunkan dalam keadaan yang selalunya tidak dapat dijangka dan diselangi dengan beberapa kejutan, tetapi ia lebih kepada satu hadiah kegembiraan yang amat besar buat Rasul.

Selama 23 tahun proses itu berlangsung, hati Rasulullah semakin lama, makin terang bercahaya tahap kerohaniannya. Jika sebelum ini, kedatangan Malaikat Jibil disambut dengan ketakutan, kini kedatangannya sudah menjadi proses yang lazim dan semakin dirindui. Saat-saat yang penuh dengan peristiwa spiritual itu telah membuatkan Rasulullah benar-benar ‘mabuk kepayang’ kepada Allah. Dan segala peristiwa aneh, berat dan tidak diduga ini sebenanya dilihat sebagai satu isyarat bahawa Allah sedang mempersiapkan diri Rasulullah untuk menjadi utusan dan pejuang di jalan-Nya.

0 comments:

 

2013 © NO DAY | BUT TODAY

Designed by | Irsah inDesigns Copyright © 2013
Supported By | Blogr Templates and Themes

Domain + Hosting | Unlimited Web Host